You are reading Melayu.
Selamat Datang ke lydiarahman.com
Di sini terdapat pelbagai ma’lumat mengenai Lydia Rahman yang ingin kami kongsi bersama anda yang budiman. Fal yata faddhal…
Siapa Beliau
Dilahirkan dan dibesarkan di Republik Singapura, Lydia Rahman merupakan seorang gadis serba berkebolehan yang telah menempah pelbagai kejayaannya yang tersendiri.
Meskipun Lydia Rahman seorang graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan kini sedang menuntut di universiti Queen’s di Kanada dalam jurusan pos-graduan undang-undang (LL.M.), beliau juga merupakan seorang penulis, penggiat sukan, penyajak, pengacara dan pendidik pada masa yang sama.
Malah, dengan kegigihan yang tersendiri, Lydia Rahman merentasi kehidupan dengan mencabar kebiasaan dan merempuh batasan-batasan tertentu untuk mencapai kejayaan yang tidak pernah diidamkan orang kebanyakan— beliau sering memburu kehidupan yang lebih mencabar dan bermakna, di samping berusaha menyumbang dengan lebih berfaedah kepada masyarakat.
Malah, ramai yang menggelarkan Lydia Rahman sebagai “Superwoman” dalam menjadi pelopor semangat yang mengkagumkan ini, kerana Lydia Rahman sememangnya tidak kenal dengan hidup sebagai seorang ‘biasa-biasa’ sahaja.
Bagaimana Orangnya
Yang pertama dan utama, Lydia Rahman ialah seorang penulis. Tidak syak lagi, menulis dan bidang penulisan sudah di dalam darah Lydia Rahman semenjak beliau muda lagi dan ini dapat dilihat dari bilangan hadiah yang dianugerahkan kepadanya dalam pertandingan-pertandingan menulis/sastera sejak di bangku sekolah lagi.
Ketika beliau melalui zaman remaja yang penuh pancaroba dan gelora, beliau terdorong untuk menulis dengan lebih giat dan akhirnya menerbitkan anthologi pantun yang bertajuk Pantun Temasek pada tahun 2004 berkat rahmat dari Illahi… dan sudah tentunya geran dari Majlis Seni Kebangsaan(NAC)!
Selain menjadi penulis pertama dalam sejarah Malaya menerbitkan antologi pantunnya sendiri pada usia 19 tahun, Lydia Rahman juga merupakan suara bagi golongan-golongan tertindas sebagai aktivis sosial bersenjatakan pena.
Beliau juga boleh dikatakan pejuang seni dan tradisi pantun, satu tugas yang amat mencabar memandangkan masyarakat Melayu seakan semakin hari semakin membiarkan pantun jatuh terhempas ditelan gaung modernisasi. Namun disebabkan cinta beliau yang sangat mendalam pada seni pantun, beliau terus berjuang hari demi hari untuk membangkitkan warisan tersebut.
Lydia Rahman juga sering sinonim dengan sifat patriotiknya yang tidak berbelah bagi dan beliau seperti tidak pernah lari jauh dari kontroversi; kedua-dua ini sering diutarakan dalam artikel-artikel serta surat-suratnya di dada akhbar. Pada beliau, biarlah beliau dikritik dengan hebat asalkan beliau dapat membuka mata masyarakat walau sedikit pun dengan pandangan-pandangannya yang tulus dan bernas.
Cinta Lydia Rahman yang meluap-luap pada sukan juga merupakan sebahagian daripada identiti beliau: beliau tidak pernah akan menyerah kalah terutama sekali dalam sukan-sukan khususannya iaitu tennis, bola keranjang, bola sepak, lumba kereta go-kart, kanu dan belayar. Minat beliau yang mendalam terhadap sukan-sukan lain seperti golf, polo air, ragbi, ski, berakit deras, lumba basikal dan lumba kereta F1 juga tidak dipertikaikan biarpun beliau tidak berkecimpung secara langsung. Sememangnya kesemua sukan-sukan ini juga membentuk keperibadian dan prinsip hidup Lydia Rahman.
Memang mustahil untuk menerangkan segalanya mengenai Lydia Rahman hanya dengan kekata, jadi apa kata kami undang anda mejenguk ke dalam dunia, pengalaman dan karya Lydia Rahman untuk memahami Lydia Rahman dan perjuangannya dengan lebih baik…
Dekat Padamu · Temuramah sejenak di sini.
Gerbang Puisi · Beberapa pantun dan sajak tulisan Lydia Rahman di sini.
Khidmat · Khidmat-khidmat disediakan Lydia Rahman di sini (pautan dalam bahasa Inggeris)
Paparan · Dengar beberapa klip audio rakaman Lydia Rahman serta baca beberapa karya tulisan mengenai/oleh Lydia Rahman yang pernah disiarkan di dada akhbar/majalah di sini.
Hubungi Kami · Hubungi kami di sini.