You are reading * Gerbang Puisi.

Ada orang kata, dari mata pena lah mengalirnya curahan yang tak dapat disebatikan hati dan akal fikiran… Orang itu ialah saya, dan di sini saya dengan rendah dirinya persembahkan sedikit curahan pena yang tak seberapa. Mungkin bukan yang terbaik, tapi yang paling ikhlas:
Rajah Venn Baru
Dahulu ada aku,
Ada engkau
Ada dia
Dalam bentuk aku dan kau Kau dan dia
Tapi kini rajah Venn itu telah berubah
Dan kau biarkan dirimu dibuai khayalan asmara
Sambil pantatmu dikait onak
Dengan lahap kau bedal sedap
Pisang bertuba disalut madu
Oleh Dajjal pemegang kertas cap ustaz
Kini hidupku Badar, Khandak dan Uhud
Demi maruah cintaku
Biar merah panji-panjiku menitis darah
Di gurun tandus
Tapi yang putih tak mungkin sekali
Aku tunggu kau di sini.
9 April 2006
Berkali Sekali
Pernah berkali ku halau dikau
Dari dalamnya lubuk hati ku
Dan dalam ketidakseimbangan akal
Kemudian termakan pujuk rayu mu
Pernah berkali ku caci dikau
Agar kau sedar kesilapanmu terhadapku
Dan kemudiannya aku tersedar kesilapanku terhadapmu
Kemudian ku sedar dikau suami ku
Berkali juga ku renung dikau
Dan melihat sinar keikhlasan
Menebus telus mendungnya kemanusiaan
Dan kerana manis senyumanmu
…Satu dalam beribu juta.
Banyaknya kali juga dikau akur
Dan patuh dan tunduk dan manjakan dan mengalah
Dan aku tak henti-henti mencari
Menguji kesabaran kesetiaan keikhlasan
Namun dikau tetap terpacak.
Kukuh, teguh, setia.
Dan kini kau pergi, abang,
Mataku tak kenal siang dan malam
Hatiku tak pernah tenteram
Akal fikiran berang, hilang ke mana Jiwa ku
dihempap gelisah suram
Aku kosong kosong kosong
Kini haruman ku tak sikit pun kau hidu
Wajah ku diseri hejab tak sikit pun kau pandang
Mata ku bercelak Mekkah tak sikit pun kau jamah
Bibir ku delima tak sikit pun kau endah
Sukma ku menitis darah tak sikit pun kau belai…
Pernah berkali ku beri kau peluang
Pernah berkali ku sabar tabah
Biar lah sekali kau beri kembali… sekali
Berilah daku sekadar pelangi
Agar sentiasa kubelai harap
Adanya emas dihujung sana… nanti.
19 February 2006
Kepada Yang Berkerak Besar
Tidak sedarkah kau jika pandai kau masak nasi dulu
Dan pandai lagi memasak lauk
Dapat lah kiranya Mereka bersantap baik
Rohani jasmani
Cukup segalanya
Walau ke London, New York, Toronto Cambridge, Harvard, McGill…
Boleh Mereka makan spaghetti Foie gras Tapas Maushawa
Seumur hidup tanpa perlu disara
Tidak sedarkah kau bahawasanya
Ia tak seindah pandangan mata kasar kau
Yang sekadar mengagungkan periuk
Bercanang satu kampung Agar orang ternganga kagum
Tidak sedarkah anak dara kau berdagang separuh maruah
Sekadar ’tuk merasa kesenangan diimpikan setiap gadis
Bercita-cita menggunung:
Belaian kasih sayang
Bagaikan maharani
Walaupun maharajanya milik orang
Tidak sedarkah kau, yang dahulunya bongsu sedekad lamanya
Kini rasa tergugat, tersisih dari darjatnya
Bergelut dengan resan rasa
Sentiasa mencari perhatian
Merokok, mengaibkan, mencuri, menyetan
Tidak sedarkah kau bahawa— bukan, nasi kau bukan sikit—
Sekadar puratanya menyedihkan
Kerana sikit dibahagi beberapa memang sikit
Tapi banyak dibahagi banyak tetap sikit juga…
Pernah kau fikir? Aku dah lama lapar, tau.
14 Dec 2005
Kisah Budi Dan Bunga
Antara budi dan bunga
Memang bunga tak boleh dimakan
Tapi budi jika dibawa, mati
Sedangkan bunga ada dalam gambar
Dalam buku
Dalam hati…
Dalam blog.
Budi yang dibawa akan tetap mati
Entah sebelum atau sesudah dikau
Tapi tetap dibawa dan akan mati!
Takkan kau ingat Tuhan itu bodoh?
Tuhan itu tak nampak kau balas budi dengan budi?
Seumur hidup kau, do’a kau mengenang si budi
Padahal kau hanya mengenang budi
Sekadar menyentuh ikatan ’akad janji
Untuk tunjukkan Tuhan bahawasanya kaulah yang mithali.
Bunga ini akan layu
Tapi dalam layunya itu tak pernah hilang
Kalau tak dibawa ke sana ke mari, tetap ada pengganti
Tak akan terkira bunga-bunga yang saban hari
Menanti budi Menunggu dikau datang kembali menghisap madu
Lantas dapat dibayar secara budi.
16 July 2005
Pengemis Di Pintu Itu
Pengemis itu datang padamu
Mengetuk pintumu
Kau jenguk, dia ketuk
Pengemis itu buruk rupanya
Comot pakaiannya
Tapi seorang manusia biasa
Kau jenguk, dia ketuk lagi
Dahulu pengemis itu seorang penagih
Ceritanya memang sedih
Tapi kau tak endah
Dia ketuk lagi, kau malas nak jenguk
Apa salahnya padamu?
Dahulu pernah dia menagih denganmu
Sama-sama menagih
Dia ketuk dan ketuk, kau sikit pun tak jenguk
Atas undangan dia datang padamu
Satu undangan, undangan rindu
Walaupun dah bertasek dia berdarah
Tersiat jarinya lama mengetuk, kau takut nak jenguk
Pengemis itu tak ketuk lagi
Nampaknya terdampar di luar
Kau mula rasa lega tiada bingit di telinga
Tapi kau lupa
Satu hari mayat pengemis yang terdampar di depan pintumu itu
Akan busuk dan berbau
Dan lambat laun juga kau terpaksa membuka pintumu…
June 2005
Cinta Yang Hina Ini
Aku yang kau tinggalkan
Jatuh sepi berkecai
Debu pantun hangus dihembus bayu
Jangan tinggalkan daku
Tawa tangis aku manis
Lagi manis dari bibirmu
Tapi manis lagi godaan nafsu
Kasihan kan, kau?
Yang enggan ku beri, kau rangkul setandan
Dari yang kerumun bila kau ketik
Jika itu niatmu…
Apakan daya aku yang suci ini
Apakan daya cinta yang hina ini.
27 May 2005
Penganut Musiman
Pabila ranjau dan duri kehidupan melukakan telapak kakinya
Dan lumuran darah menghiasi tanah dijejaknya
Dia berdo’a.
Sembahyang, Sembahyang, Sembahyang.
Pabila hati gundah merana diraut golok rindu, duka nestapa ditampar putusnya cinta
Dan tersangat manjur racun kekasih disapu ke sukmanya
Dia berdo’a.
Sembahyang, Sembahyang,
Dan berdo’a.
Pabila meraung kesakitan diredang penyakit
yang seakan mencacakkan pedang
Dan tersekat nafas, pandangan kabur, bagai nak retak tempurung kepala
Dia berdo’a Berdo’a Dan berdo’a.
Tapi setiap kali rahmat melimpah ruah, hati girang tak terkata, dia mampu tertawa
Dan rezeqi datang bergolek, untung sabung-menyabung, kasih keliling pinggang
Dia berdangdut
Berjudi Menogok Berzina Menjoli
Sampai pagi…
Itulah dia penganut musiman.
2001